Sesungguhnya Allah lah yang menciptakan cinta. Dan Dialah juga yang menghamparkan bahagia. Dia yang mengutuskan duga, dan Dialah juga yang mengirimkan hampa. Namun hakikatnya itu semua adalah bukti kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya, dan juga tanda menguji keimanan diri manusia terhadapNya.
Bukannya Dia tidak tahu betapa sedihnya hatimu, sengsaranya jiwamu, apabila bahagia yang dipinta namun penderitaan yang tiba. Bukannya Dia ingin menzalimi hamba-hambaNya sedangkan kita semua diciptakan untuk mengabdikan kepadaNya.
Namun yang sebenarnya, semua itu ditakdirkan sebegitu kerana Dia Maha Mengetahui bahawa hati yang pernah di'ratah' dengan kesedihan, jiwa yang di'baham' dengan penderitaan, akan ada satu masa pasti akan mencari tempat pergantungan, dan disitulah seorang hamba yang benar-benar beriman akan kembali kepadaNya dalam kehidupan. Dia mengetahui hati dan jiwa sebegini akan lebih dekat dan akrab denganNya dengan merintih dan memohon kepadaNya.
Kekadang Allah takdirkan ujian dan dugaan untuk menyedarkan kembali jiwa-jiwa yang lalai dan hati yang terleka agar kembali semula kepadaNya. Adakalanya musibah itu terjadi untuk menyedarkan jiwa dan hati diatas perbuatan-perbuatan kita. Dan adakalanya juga, musibah yang menimpa hidup kita itu tanda kerinduan Allah untuk mendengar luahan hati kita lantaran sunyinya hati kita dari berdoa, meminta kepada Allah.
Betapa hebatnya perancangan dan ketentuan Allah Ta'ala, tidak mengira tempat dan juga masa, setiap detik yang Dia ciptakan pasti ada rahmat dan hikmah yang terkandung disebaliknya. Namun hanya orang terbuka hatinya yang mampu mencari hikmat tersebut. Oleh itu, sucikanlah hati dan bersihkan lah jiwa, agar hati kita sentiasa terbuka dengan hidayahNya.
Usahlah berdukacita dengan kesusahan dan penderitaan, kerana disebaliknya ada rahmat dan hikmah yang tersembunyi dalam kehidupan. Dan janganlah juga terlalu bergembira dengan kebahagiaan dan kesenangan, kerana tidak mustahil disebaliknya sedang menanti diakhirnya penderitaan dan kesengsaraan.
Ingatlah, satu saat di hadapan, tidak mampu kita tafsirkan apa yang bakal berlaku, kerana setiap sesuatu dalam hidup ini, bukanlah suatu kepastian di masa depan sebagaimana dalam sangkaan kita.
by:
Ruhainah Binti Radin merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau berkongsi karya di http://jejakaddin.blogspot.com
No comments:
Post a Comment